fb fb fb fb fb

KPM terus tekankan pembangunan kurikulum vokasional

Timbalan Pengarah Kanan Kluster Kurikulum dan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Saiful Hasnan Abdul Hamid

SEREMBAN, 4 November - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memfokuskan kepada pembangunan kurikulum vokasional dinamik dengan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan akses dan ekuiti pembelajaran yang sama rata kepada semua pelajar dengan mengambil kira kemampuan dan potensi diri mereka.

Menurut Timbalan Pengarah Kanan Kluster Kurikulum dan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Saiful Hasnan Abdul Hamid, bidang TVET memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sentiasa memenuhi keperluan industri seiring perkembangan teknologi semasa.

"Dan kita juga bernasib baik kerana kerajaan dan Perdana Menteri kita sendiri mengutamakan pendidikan TVET maka peruntukan setiap tahun kalau kita lihat dalam bajet telah bertambah, jadi menunjukkan betapa pentingnya pembangunan TVET tersebut dan dalam Kementerian Pendidikan memang sudah semestinya perkara ini kita tekankan dan kita akan cuba memperluas program TVET bukan hanya di kolej vokasional tetapi juga di sekolah harian dan sebagainya," Saiful Hasnan berucap pada Majlis Anugerah Kualiti Kolej Vokasional Ampangan Tahun 2023, di sini.

Tambahnya, matlamat Transformasi Pendidikan Vokasional yang menetapkan pelajar hasil dari kolej vokasionl KPM mestilah 70% bekerja, 20% menyambung pengajian dan 10% menjadi usahawan. 

Kadar kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional telah melepasi 90% dan kesemua 606 program diploma yang ditawarkan telah mendapat akredetasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Teknologis Malayasia (MBOT).

Dalam majlis tersebut, seramai 102 orang pelajar, 16 orang pensyarah dan empat anggota sokongan Kolej Vokasional Ampangan menerima anugerah masing-masing.

TETITIA YUSOFF