KUALA LUMPUR, 4 November - Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil telah berhubung dengan pihak Liberal International menuntut supaya nama dan logo PKR dikeluarkan daripada laman web organisasi itu.
Fahmi berkata buat masa ini masih belum ada maklum balas daripada pihak tersebut berhubung perkara itu.
Beliau sekali lagi menegaskan PKR tidak pernah menjadi ahli kepada pertubuhan antarabangsa itu.
"Setakat ini belum ada (maklum balas) tetapi saya difahamkan mereka berpangkalan di London, jadi mungkin beza waktu, namun kita telah berhubung dan akan tunggu.
"Kita bukan ahli, kita tak pernah bayar apa-apa yuran keahlian kepada badan itu. Nama dan logo kita perlu dikeluarkan daripada laman web itu," katanya kepada media.
Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang dipercayai menyokong Israel.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di sekitar Lembah Pantai, di sini.
Beliau merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata sumbangan tersebut merupakan salah satu inisiatif berterusan dalam usaha memberikan kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan selain meringankan beban ketika menghadapi musim perayaan.
Lebih 700 keluarga masyarakat India di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas seperti minyak masak, gula, garam, tepung serta makanan kering.