KUALA PERLIS, 4 November - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Perlis yang baharu akan dibina di tapak sedia ada.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerja-kerja pembinaan bangunan itu dijangkakan bermula tahun depan.
Projek pembangunan telah mendapat kelulusan bajet untuk dilaksanakan setelah tersenarai antara IPD yang akan dibangunkan semula dan mendapat pengesahan kelulusan seminggu lepas.
"Secara prinsipnya itu termasuk dalam projek yang telah pun kita dapat kelulusan untuk kita laksanakan di IPD, selain IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Pulau Pinang, Perak dan Kelantan, yang di Padang Besar (melibatkan) IPD.
"IPD Padang Besar melibatkan binaan baharu, bajet diluluskan, tanah dah ada (atas tapak sedia ada), seterusnya proses kaedah perolehan, lantikan kontraktor dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Perlis Wilayah I, di sini.
Beliau berkata IPD di negeri lain yang turut tersenarai untuk pembangunan semula itu akan diumumkan kemudian dalam lawatannya ke negeri berkenaan.