PUTRAJAYA, 9 Disember- Nilai eksport sektor agrikomoditi negara mencecah RM137 bilion setakat Oktober lalu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sektor itu terus memacu pertumbuhan meskipun menghadapi cabaran ekonomi dan persaingan geopolitik.
"Alhamdulillah, walaupun keadaan mencabar dari segi ekonomi dunia dan geopolitik, kita masih menyumbang sumbangan besar pada negara. Jika dibandingkan tahun lepas walaupun menurun tetapi volumenya masih kekal malahan bertambah.
"Cuma sebab pertukaran wang asing mungkin ia menyebabkan nilai Ringgit kurang sedikit, secara keseluruhan sumbangan itu sektor agrikomoditi kita agak baik", katanya.
Datuk Seri Fadillah ditemui pemberita selepas sesi pelepasan peserta Agrikomoditi Walk di Putrajaya.