fb fb fb fb fb

Nilai eksport biji & produk koko cecah RM3.2 bilion

PONTIAN, 24 Julai- Eksport biji koko dan produk hiliran berasaskan koko meningkat kepada RM3.2 billion bagi tempoh Januari hingga Mei lalu berbanding RM2.77 billion bagi tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Sri Dr Wee Jeck Seng berkata eksport biji koko dijangka terus meningkat tahun ini mengatasi jumlah RM6.87 billion yang dicatatkan tahun lalu.

Peningkatan itu didorong oleh faktor permintaan terhadap produk tempatan di pasaran luar negara.

Produk berasaskan koko seperti serbuk koko dari negara ini mendapat pasaran luas terutama di negara Asia Barat dan Asia Tenggara, selain pengguna di peringkat antarabangsa.


(Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Sri Dr Wee Jeck Seng)

"Inilah usaha kerajaan supaya dapat memperluaskan produk coklat ini bagi meningkatkan pendapatan ataupun nilai-nilai ini bukan sahaja untuk rakyat kita tetapi juga kerajaan. Ini penting, kita mahu memasarkan, jadi Lembaga Koko Malaysia memainkan peranan meningkatkan hasil atau meningkatkan semua aspek dari semasa ke semasa untuk meningkatkan nilai koko", katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai dan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan di Tanjung Piai, Pekan Nanas.

Seramai 300 usahawan di negeri Johor bakal dibimbing dengan memberi peluang kepada golongan B40 menjana pendapatan untuk menceburi industri pembuatan coklat buatan tangan.

Media Baharu