fb fb fb fb fb

Nilai aspek keselamatan dalam perobohan rumah tanpa izin di Semporna - Fahmi

Foto BERNAMA

PUTATAN, 10 Jun- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata aspek keselamatan Sabah dan Malaysia perlu diberi perhatian penting dalam menilai tindakan pihak berkuasa merobohkan rumah tanpa izin di perairan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata sememangnya aspek kemanusiaan adalah penting dalam menilai perkara itu tetapi pada masa sama, negara tidak boleh berkompromi dengan aspek keselamatan apabila pulau terbabit mungkin digunakan secara tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu.

“Ini memandangkan kebanyakan pulau ini dalam kedudukan yang mungkin disalah guna oleh mana-mana pihak bagi tujuan membahayakan negara juga aktiviti melanggar undang-undang seperti penyeludupan dan sebagainya.

“Aspek kemanusiaan dan keselamatan ini pihak kerajaan kita terus teliti dan ambil tindakan berpatutan. Apa yang kita faham tindakan awal telah diambil oleh kerajaan negeri dan kita akan beri sokongan aspek keselamatan, pastikan tiada kesan negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sembang Santai Komuniti MADANI Parlimen Putatan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan dan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor.

Bagaimanapun, Fahmi berkata beliau kesal dengan tindakan membakar rumah terbabit yang sepatutnya tidak berlaku dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan.

Pada Jumaat lepas, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata 273 rumah tanpa izin di perairan itu telah diberikan notis arahan pengosongan yang diedarkan dari 2 hingga 4 Mei lepas sebelum tindakan perobohan dilakukan.

Christina berkata ia dilaksana atas faktor keselamatan di peringkat daerah susulan insiden tembakan di Teluk Darvel, Kunak selain kegiatan jenayah rentas sempadan di lokasi penempatan tanpa izin itu.

Tular di laman sosial baru-baru ini video perobohan rumah tanpa izin itu dan kediaman didakwa didiami etnik Pala’u yang tidak mempunyai kewarganegaraan juga dibakar dalam video tersebut.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM