KUALA LUMPUR, 10 Jun - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempunyai perancangan jangka panjang dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi kenyataan berkata kementerian memerlukan usaha sama berterusan pihak kerajaan negeri bagi merealisasikan rancangan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035.
Katanya melalui platform itu juga pihak kerajaan negeri berpeluang mengetengahkan isu dalam pelaksanaan operasi pendidikan tinggi di negeri masing-masing.
"Antaranya melibatkan kebajikan mahasiswa, pemerkasaan Institut Pendidikan Tinggi Negeri (IPTN) dan pengukuhan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Selain itu kolaborasi industri dan juga peluang kerjasama dalam mengukuhkan hubungan strategik antara KPT dan kerajaan negeri bagi memastikan ekosistem sektor pendidikan tinggi negara pada tahap yang terbaik," katanya.
Terdahulu, Zambry mengadakan mesyuarat pertama bersama Exco dan Timbalan Exco pendidikan negeri di Putrajaya pagi tadi.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud serta pengurusan tertinggi KPT.
"Pertemuan seperti itu akan diadakan secara berkala bagi membincangkan perihal pendidikan tinggi negara dari semasa ke semasa," katanya.