fb fb fb fb fb

Haji: Jadual penerbangan hanya boleh ditukar untuk kes kesihatan, fiqh wanita

Kaabah

MEKAH, 10 Jun- Sebarang pertukaran melibatkan jadual penerbangan pulang jemaah haji Malaysia hanya boleh dilakukan sekiranya melibatkan masalah kesihatan dan fiqh wanita.

Pengarah Operasi Mekah, Rozila Omar Ali berkata, syarat itu dikeluarkan bagi mengelak daripada berlaku terlalu banyak pergerakan yang akan memberi kesan kepada aspek pengurusan.

Bagaimanapun, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang permohonan mengenai perkara tersebut.

"Semasa fasa kedua nanti kebiasaannya kita akan menerima beberapa permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada jadual penerbangan, contohnya daripada segi keperluan bagi fiqh wanita... itu kita akan pertimbangkan.

"Jadi akan ada pertimbangan untuk perubahan (penerbangan), sama ada jemaah wanita yang diiringi mahramnya atau bergantung kepada permohonan itu sendiri," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di sini.

Tambah Rozila, jemaah yang sedang menerima rawatan di Pusat Rawatan TH atau mana-mana hospital di Mekah juga akan dipertimbangkan untuk sebarang perubahan jadual penerbangan pulang, bergantung nasihat oleh pegawai perubatan. 

SITI AISHAH MD ISA