KUALA LUMPUR, 9 September - Kerajaan sedang menjalankan kajian bagi penetapan nilai ambang bawah fasal 21(3) Rang Undang-Undang Insolvensi 2025 berdasarkan beberapa pertimbangan wajar bagi memastikan ia seimbang dan praktikal.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata, penetapan tersebut mengambil kira skala hutang Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), nilai penggulungan syarikat sedia ada, kos litigasi serta keperluan melindungi kepentingan pemiutang tanpa menekan usahawan kecil.
Pengecualian atas faktor dasar awam berfungsi sebagai 'injap keselamatan' bagi membolehkan mahkamah menolak pengiktirafan terhadap prosiding insolvensi asing sekiranya bercanggah dengan kepentingan nasional.
"Pada masa ini, kajian masih dijalankan bagi mendapatkan satu jumlah nilaian yang wajar dengan meneliti semua input dan pandangan bagi memastikan nilai akhir yang ditetapkan kelak benar-benar seimbang, memelihara hasrat dan keharmonian peruntukan Rang Undang-Undang ini, serta melindungi kepentingan pemiutang dan pada masa yang sama membela nasib PMKS di negara kita," katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Negara.
Dalam pada itu Kerajaan tidak bercadang untuk mentakrifkan secara khusus maksud 'kepentingan awam' dalam RUU tersebut.
Langkah berkenaan bagi mengekalkan ruang tafsiran terbuka kepada mahkamah, agar penentuan boleh dibuat berdasarkan fakta dan konteks setiap kes secara tersendiri.
M. Kulasegaran turut menegaskan bahawa RUU itu tidak menghakis kedaulatan undang-undang negara, sebaliknya memperkukuh peranan Mahkamah Tinggi dalam mendepani cabaran insolvensi rentas sempadan menerusi prinsip akses, bantuan, pengiktirafan serta penyelarasan dan kerjasama dengan mahkamah luar.