KUALA LUMPUR, 9 September – Kementerian Komunikasi sedang meneliti kemungkinan mengenakan syarat pelesenan terhadap sejumlah aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan teknologi tersebut digunakan secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang negara.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu perkara tersebut akan diselaraskan bersama Kementerian Digital dan melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian yang dijangka berkuat kuasa awal tahun depan.
Pertimbangan itu dibuat berikutan kebimbangan terhadap kemampuan aplikasi AI menghasilkan imej yang sangat realistik sehingga boleh disalahgunakan untuk tujuan salah.
"Memang saya lihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu meneliti kemungkinan mengenakan syarat pelesenan kepada sejumlah aplikasi untuk memastikan platform-platform dan aplikasi-aplikasi termasuk kecerdasan buatan ini mematuhi peraturan dan undang-undang negara kita.
"Ini sedang kita teliti, tetapi kita akan selaraskan dengan Kementerian Digital dan juga melalui pelaksanan Akta Keselamatan Dalam Talian yang akan insya-Allah mula berkuat kuasa awal tahun depan", katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang di Dewan Negara.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi sedang meneliti pendekatan lebih menyeluruh dalam memastikan ketelusan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) di media sosial, termasuk menerusi aspek pelabelan dan metadata.
Datuk Fahmi berkata, aspek forensik digital turut diperkukuhkan agar kandungan berbentuk gambar atau video dapat dikenal pasti serta disahkan sama ada ia bersifat AI atau sebaliknya
"Jadi apa yang sedang diusahakan dari aspek forensik bagi agensi penguatkuasaan sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menubuhkan dengan sebuah siber crime unit, di pihak MCMC selain dari Cyber Security Malaysia sudah pasti peralatan dan perkakas forensik digital yang mampu mengenal pasti dan mengesahkan sekiranya sesuatu gambar video kandungan itu adalah bersifat AI", katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Dato' Low Kian Chuan pada sesi Dewan Negara.