KUALA LUMPUR, 9 September - Akauntabiliti perlu menjadi tunjang utama dalam kepimpinan dan tadbir urus negara, melebihi takrif sempit demokrasi yang sering hanya dikaitkan dengan proses pilihan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa demokrasi yang sebenar menuntut bukan sekadar perancangan dasar yang baik, tetapi juga kepimpinan yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat, serta menyahut amanah ilahi sebagai asas keadilan dan integriti.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
"Kita sering bercakap tentang demokrasi, tetapi tidak merujuk kepada akauntabiliti demokratik. Demokrasi bukan sekadar pilihan raya. Kepimpinan bukan hanya soal merangka pelan, tetapi memastikan ia benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat, dan akhirnya kepada Tuhan," katanya.
Menyentuh nilai dalam tradisi Islam, Perdana Menteri mengangkat sabda Nabi Muhammad SAW sebagai asas penting dalam membudayakan akauntabiliti dalam diri setiap individu.
"Dalam tradisi Islam, antara ajaran paling mendalam daripada Nabi SAW adalah hadis Kullukum Ra’in Wa Kullukum Mas’ulun ‘An Ra’iyyatihi – setiap daripada kita adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Sejak kecil lagi, kita dididik tentang prinsip akauntabiliti," ujar beliau.
Menurut Datuk Seri Anwar, prinsip akauntabiliti harus dipupuk sejak awal bermula dengan diri sendiri, keluarga, organisasi, dan akhirnya kepada Tuhan.
Justeru, nilai integriti dan ketelusan mesti menjadi budaya dalam tadbir urus, termasuk dalam bidang audit yang menuntut juruaudit dan juruaudit dalaman dilatih dengan baik, bertanggungjawab dan berintegriti.
“Ini bermakna nilai integriti yang betul perlu diterapkan bersama dengan ketelusan, yang seterusnya menuntut kehadiran juruaudit dan juruaudit dalaman yang jelas peranannya, bertanggungjawab, terlatih, berakauntabiliti serta berintegriti. Cabaran yang kita hadapi adalah banyak dan tidak mustahil ia berlaku serentak," tambahnya.
Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa dunia kini berdepan pelbagai krisis serentak; pandemik, ketidaktentuan ekonomi dan gangguan teknologi yang menjadikan peranan juruaudit dalaman dan profesional akauntan semakin penting dalam apa juga situasi sesebuah kerajaan.
"Kita sering bercakap tentang pandemik, ketidaktentuan ekonomi, atau gangguan teknologi. Namun, sama ada kerajaan itu stabil atau kaya sekalipun, isu akauntabiliti serta peranan akauntan dan juruaudit dalaman tetap adalah yang paling utama," tegas Perdana Menteri.