PULAU PINANG, 31 Julai – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan terus memburu baki ahli sindiket pernikahan palsu susulan penahanan tujuh individu yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu baru-baru ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, pihaknya komited membanteras rangkaian sindiket yang menjalankan majlis pernikahan tanpa kebenaran dan tauliah sah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Maqasid Syariah di Seberang Jaya.
“Mereka yang menguruskan pernikahan tanpa tauliah dan kelulusan pihak berkuasa melanggar undang-undang di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam. Laporan penguatkuasaan akan diangkat kepada Jabatan Pendakwaan Syariah untuk tindakan sewajarnya. Masih ada saki baki rangkaian sama yang kita pantau dan tindakan susulan akan dilaksanakan,” katanya.
Pada 21 Julai lalu, pasukan penguat kuasa JHEAIPP menyerbu sebuah rumah di Kubang Semang, Permatang Pauh dan menahan lima lelaki serta dua wanita yang sedang menjalankan majlis pernikahan tanpa kebenaran.
Antara yang ditahan ialah jurunikah tidak bertauliah dan orang tengah yang bertindak sebagai ejen pernikahan palsu.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 19, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang.
Sindiket terbabit dipercayai mengenakan bayaran sekitar RM3,000 bagi setiap pasangan yang mahu bernikah.