PETALING JAYA, 31 Julai – Ayer Keroh, Melaka dipilih sebagai lokasi pertama pembangunan ladang solar berskala besar hasil kerjasama antara PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan UEM Lestra Berhad (UEM Lestra).
Perjanjian itu dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat bagi meneroka pelaksanaan projek solar di tanah milik PLUS seluas 200 ekar di Ayer Keroh, sebagai sebahagian daripada Fasa 2 dalam Pelan Utama Konsep Tanah Ayer Keroh.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat dalam memainkan peranan proaktif terhadap pembangunan lestari dengan memanfaatkan infrastruktur dan aset tanah strategik syarikat untuk menjana tenaga boleh diperbaharui serta menyokong sasaran sifar bersih negara.
“Inisiatif ini juga turut menyokong pelan jangka panjang PLUS ke arah lebuh raya yang selamat, lestari dan pintar, sekaligus mengukuhkan lagi peranan kami sebagai rakan pembangunan negara yang menerajui inovasi dan pemeliharaan alam sekitar,” tambahnya.
Pelan induk secara keseluruhan itu merangkumi keluasan 338 ekar yang turut melibatkan pembangunan bercampur, termasuk perumahan dan runcit mobiliti dalam Fasa 1 dan Fasa 3.
Tambah beliau, projek ini juga selari dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran Sifar Bersih menjelang 2050, selain menjadi langkah awal untuk membuka potensi tanah milik PLUS kepada pembangunan infrastruktur hijau dan inisiatif kelestarian lain.
Jelasnya, ia juga merangkumi usaha bersama untuk mengenal pasti tapak-tapak lain yang bersesuaian dengan tujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan menyokong agenda kelestarian negara.