fb fb fb fb fb

Nik Nasarudin KSU KPM baharu

(Foto Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia)

PUTRAJAYA, 2 Februari- Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), berkuat kuasa hari ini.

Nik Nasarudin, 57 tahun berkelulusan Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun dengan bermula sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (Guru) yang disandang dari 1990 sebelum dilantik ke Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 16 Disember 1996.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Nik Nasarudin berpengalaman luas dalam pelbagai bidang terutama melibatkan aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan serta pentadbiran dan pembangunan modal insan setelah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

"Saya yakin dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki, Nik Nasarudin mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan misi kementerian untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Malaysia Madani," katanya menerusi kenyataan.


(Foto Facebook Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara)

Media Baharu