KUALA LUMPUR, 17 Disember- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa, didorong oleh kejatuhan mendadak dalam niaga hadapan minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT) semalaman.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani mengaitkan tekanan harga itu kepada kekurangan permintaan baharu daripada pasaran destinasi utama, ditambah dengan margin import negatif yang mendalam terutamanya di India.
"Eksport minyak sawit Malaysia bagi separuh pertama Disember adalah pada paras yang lebih rendah manakala pengeluaran juga menunjukkan tanda-tanda penurunan.
"Sementara itu, kelemahan ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) membantu mengehadkan penurunan dalam niaga hadapan MSM Bursa Malaysia Derivatives (BMD) yang denominasi dalam ringgit," katanya.
Dalam pada itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM ditutup lebih rendah disebabkan oleh jangkaan eksport yang lebih lemah dalam beberapa minggu akan datang, yang memberi tekanan kepada harga.
"Kami melihat paras sokongan pada RM4,700 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,950 setiap tan," kata Ng kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak Januari 2025 susut sebanyak RM11 kepada RM4,889 setiap tan, Februari 2025 turun RM24 kepada RM4,801 setiap tan dan Mac 2025 menurun RM33 kepada RM4,725 setiap tan.
April 2025 merosot sebanyak RM23 kepada RM4,621 setiap tan, Mei 2025 menurun RM5 kepada RM4,519 setiap tan dan Jun 2025 meningkat RM9 kepada RM4,427 setiap tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 91,037 lot daripada 98,575 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka turun kepada 247,337 kontrak daripada 250,062 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Januari Selatan merosot RM50 kepada RM5,050 setiap tan.- BERNAMA