fb fb fb fb fb

UMEF: Menteri Alumni UM disaran hulur sumbangan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Ahli Jemaah Menteri yang merupakan alumni Universiti Malaya (UM) disaran untuk menyumbang dalam Tabung Dana UM atau UM Endowmen Fund (UMEF). 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sumbangan tersebut disifatkan akan dapat membantu pembangunan universiti sekali gus, mencapai sasaran dana endowmen universiti tersebut.  

Datuk Seri Anwar yang juga Alumni UM turut menyarankan setiap graduan universiti itu yang mempunyai sumber pendapatan melebihi RM10,000 harus diwajibkan untuk menyumbang sebanyak RM1,000 kepada Tabung Endowmen UM.

"Bermula dengan ahli jemaah Menteri yang Alumni UM akan mulakan dana wajib RM 10,000 seorang. Dan saya percaya setiap graduan universiti yang sumber pendapatannya itu menjangkau lebih RM 10,000 harus diwajibkan untuk menghulurkan RM 1,000 kepada endowment UM.

"Keseluruhannya, ini saya percaya kita boleh melepasi angka supaya tidak membebankan pemerintah. Saya tidak mahu melepaskan tanggungjawab sebagai pemerintah tetapi saudara-saudari tahu kita ada kekangan ekonomi tidak diurus.

"Negara terkenal dengan rasuah dengan hutang mencecah trilion ringgit dan dana itu harus lebih cekap", katanya demikian ketika berucap pada Majlis Malam Alumni Universiti Malaya – Jejak Memori di ibu negara. 

Penubuhan tabung tersebut merupakan sebahagian usaha merealisasikan visi Universiti Malaya sebagai sebuah institusi pendidikan bertaraf dunia. 

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD