BANGI, 10 Mei - Pertubuhan badan bukan Kerajaan (NGO) Kebajikan Bidadari Malaysia mencadangkan supaya kerajaan menggazetkan satu tarikh khas sebagai hari Kesihatan Mental Kanak-Kanak Kebangsaan.
Pengasasnya Napsiah Khamis berkata, langkah itu bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan penjagaan emosi dan psikologi dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut beliau, masalah kesihatan mental sering dikaitkan dengan golongan dewasa, sedangkan kanak-kanak juga terdedah kepada tekanan dan gangguan emosi yang memerlukan perhatian khusus.
"Apabila wujudnya Hari Kesihatan Mental Kanak-Kanak, ia membolehkan masyarakat sedar dan memahami masalah mental bukan hanya boleh terjadi kepada golongan dewasa sahaja, malah dalam kalangan kanak-kanak juga boleh terjadi.
"Berapa ramai lagi kanak-kanak yang tidak bersekolah, kena rogol dari kecil dan tidak bersuara pun, ada yang dicabul dan mereka takut nak bersuara," katanya.
Napsiah bercakap kepada pemberita selepas menjadi ahli panel dalam forum bertajuk Kesedaran Awal Mental Kanak-Kanak di Pusat Pakar Psikologi Az-Zahrah di Bangi, Selangor.
Dalam pada itu, pihaknya akan bertemu dengan beberapa wakil rakyat supaya syor itu dapat disuarakan di Dewan Rakyat seterusnya diangkat sebagai agenda kebangsaan kementerian yang terlibat.