KUALA LUMPUR, 10 Mei- Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan dirinya bertanding sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam pemilihan KEADILAN 2025.
Datuk Fahmi mengumumkannya menerusi perkongsian di Facebook.
"Saya membuat keputusan ini bukan kerana jawatan tetapi amanah perjuangan.
"Lebih dua dekad setengah kita bersama gerakan reformasi ini dari jalan raya ke Putrajaya, dari menuntut keadilan buat individu teraniaya kepada usaha membina semula sistem yang lebih adil dan telus untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi berkata KEADILAN bukan hanya sebuah parti politik tetapi wadah reformasi berasaskan prinsip.
"Justeru, kepimpinan pusat mesti mencerminkan nilai-nilai integriti, ketekunan dan keberanian yang diwarisi sejak tahun 1998.
"Saya mohon kepercayaan semua untuk bersama mengangkat KEADILAN ke tahap yang lebih tinggi. Bukan untuk kita sahaja, juga untuk generasi akan datang," tambah Datuk Fahmi.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat KEADILAN, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengesahkan sebanyak 251 pencalonan telah diterima untuk pertandingan pelbagai jawatan bagi pemilihan tersebut.