KUALA LUMPUR, 10 Mei 2025 - Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara Penggal 1 Siri 1/25 di Dataran Kawalan Utama, Istana Negara, berlangsung penuh bersejarah dan tradisi ketenteraan.
Menurut Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali, istiadat bertujuan memperlihatkan pertukaran tanggungjawab kawalan keselamatan daripada kumpulan lama kepada kumpulan baru, melibatkan Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan 21 Skuadron Istiadat Berkuda (21 SIB).
"Pasukan terlibat adalah pasukan daripada 1 RAMD berkekuatan seramai dua pegawai dan 39 anggota untuk pengawal lama, dan dua pegawai, 40 anggota untuk pengawal baru. Dan melibatkan juga dua pegawai dan 22 kuda, pegawai anggota dan kuda daripada SIB.
"Merupakan antara acara yang sentiasa dinantikan, ia bukan sahaja dapat menonjolkan ketertiban dan disiplin ketenteraan, malah menjadi simbol penghormatan tertinggi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.
Jelas Kolonel Mohd Fuad, acara yang berlangsung mewakili cerminan jati diri ATM sebagai pasukan yang bukan sahaja bersiap siaga di medan, malah juga berperanan menjaga maruah dan tradisi negara.
Bukan sekadar melibatkan pertukaran kawalan fizikal, acara tersebut turut membawa nilai simbolik yang besar dalam kesinambungan sejarah ketenteraan Malaysia.
"Simboliknya, pada zaman dahulu istana dikawal oleh hulubalang-hulubalang, yang mana tentera-tenteranya sendiri. Dan pada waktu begini, tentera melaksanakan tugas pengawal adalah sebagai simbol istiadat." kata Kolonel Mohd Fuad.
Di samping itu, keunikan istiadat yang menggabungkan elemen ketenteraan, budaya, serta warisan Melayu menjadikan acara ini sebagai salah satu identiti kebanggaan negara.
Katanya, menerusi acara seumpamanya, komitmen dan kesiapsiagaan ATM mempertahankan institusi Diraja dan kedaulatan negara dipamer secara terbuka dan berwibawa.
Selain menjadi lambang kehormatan kepada Institusi Diraja, istiadat pertukaran pengawal juga menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Kolonel Mohd Fuad berkata ia sekali gus, memberi peluang kepada masyarakat menyaksikan sendiri keindahan tradisi ketenteraan yang jarang dipertontonkan secara umum.
"Pada tahun 1994, buat pertama kali istiadat ini telah dilaksanakan di luar daripada istana, bertujuan untuk menarik lagi ramai pelancong...dan pada tahun 2012, bermulalah istiadat pertukaran-pengawal ini di istana yang baru di Jalan Duta.
"Kemudian pada tahun 2015, pertukaran pengawal ini bersama-sama dengan pasukan 1 RAMD dan daripada SIB, melaksanakan tugas pertukaran pengawal ini di hadapan Istana Negara," katanya lagi.
Setiap gerakan yang dipersembahkan dalam istiadat itu telah melalui latihan rapi, memperlihatkan tahap profesionalisme yang tinggi dalam kalangan pegawai dan anggota yang terlibat.
ATM komited bagi terus mengekalkan dan memartabatkan istiadat sebegini sebagai warisan kebangsaan yang harus dipelihara.
Semangat kesetiaan, keberanian dan kegagahan yang ditampilkan sepanjang istiadat berlangsung membuktikan ATM sentiasa bersedia memainkan peranan sebagai benteng utama negara dalam apa jua keadaan, sambil terus menjunjung tinggi Institusi Diraja sebagai teras perpaduan rakyat di negara ini.
Dengan kejayaan penganjuran istiadat ini, ATM sekali lagi membuktikan keunggulannya bukan sahaja dalam aspek pertahanan dan keselamatan, malah juga dalam memelihara budaya dan tradisi yang menjadi lambang jati diri negara.