KUALA LUMPUR, 10 Mei- Kesedaran mengenai keselamatan siber perlu diperluas dalam kalangan warga emas.
Pakar Sekuriti Siber, Prof. Ts. Dr. Ainuddin Wahid Abdul Wahab berkata, langkah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan lebih berpengetahuan dan celik digital, sekali gus dapat mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Menurutnya, kekurangan pendedahan teknologi menyebabkan warga emas lebih terdedah kepada pelbagai taktik jenayah siber yang boleh mengakibatkan kerugian wang ringgit.
"Pesara, termasuk pegawai yang telah bersara dan sebagainya, sering dijadikan sasaran. Ini kerana penjenayah tahu bahawa golongan pesara mempunyai wang gratuity dan sebagainya. Justeru, merekalah yang menjadi sasaran utama.
"Penjenayah beranggapan bahawa pada usia sedemikian, golongan ini kurang fasih menggunakan internet atau tidak begitu mahir dengan teknologi digital," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan penyebaran kandungan palsu, selain memastikan kesahihan sumber berkenaan.
"Perkara itu sangat mudah untuk dilakukan sekarang. Dengan menggunakan telefon bimbit kita sendiri pun sudah boleh menghasilkan kandungan-kandungan yang berkaitan, termasuk kandungan palsu.
"Jadi, kita harus lebih peka dan jangan terus percaya bulat-bulat," katanya lagi.
Jelasnya, kandungan palsu berkenaan sangat mudah dihasilkan yang bertujuan menjatuhkan reputasi individu mahupun perniagaan.