GAZA, 25 Oktober- Setiap hari ketika matahari terbit, Mohammed Baker, seorang nelayan Palestin yang kehilangan tempat tinggal dari Deir al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza, segera menuju ke laut, menaiki bot kecilnya yang rosak untuk menangkap ikan walaupun sedar bahaya yang menanti.
“Setiap kali saya keluar menangkap ikan, saya tidak tahu jika saya akan pulang hidup-hidup kerana tentera Israel mungkin akan membunuh saya,” kata bapa kepada lapan anak itu kepada Xinhua.
“Saya tidak mempunyai pilihan untuk tinggal di rumah ketika keadaan hidup yang sangat teruk sekarang ... anak-anak saya kelaparan dan makanan bantuan yang kami terima daripada institusi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) tidak mencukupi untuk mereka,” keluh nelayan berusia 50-an itu.
“Saya memutuskan untuk mengambil risiko dan menangkap ikan untuk dijual di pasar tempatan bagi mendapatkan sedikit wang yang dapat membantu saya menyara keluarga di tengah serangan berdarah di Gaza,” katanya.
Bot Mohammed telah rosak apabila ditembak oleh kapal tentera laut Israel lima bulan lepas. “Saya berjaya membaikinya dengan kos yang tinggi. Kemudian, saya pergi ke laut dan mula menangkap ikan ... pada hari pertama saya kembali ke laut, tentera laut Israel menembak ke arah saya, dan saya terpaksa meninggalkan kawasan itu tanpa menangkap sebarang ikan,” katanya lagi.
Namun Mohammed tidak berputus asa. Dia memutuskan untuk keluar ke laut semula. “Saya terpaksa mengambil risiko untuk menangkap ikan untuk memberi makan kepada anak-anak saya. Saya tidak sanggup melihat mata mereka yang menderita akibat kelaparan.”
Selepas beberapa percubaan, Mohammed akhirnya berjaya menangkap ikan dan menjual hasil tangkapannya di pasar tempatan.
“Saya berjaya mengumpul kira-kira lapan kilogram ikan ... saya menjualnya dengan harga 150 dolar Amerika,” katanya sambil tersenyum pahit.
Ikan kini menjadi satu kemewahan bagi penduduk Gaza. Jika dulu harga satu kilogram ikan ialah enam dolar , kini harganya boleh mencecah 30 dolar.
Sejak 7 Okt 2023, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran di kawasan pesisir wilayah yang terkepung ini.
Angka korban rakyat Palestin akibat serangan Israel yang berterusan di Gaza telah meningkat kepada 42,847 orang, menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Khamis.
Serangan Israel juga telah menghancurkan kebanyakan sektor ekonomi di Gaza, termasuk perikanan, kata Nizar Ayyash, ketua persatuan nelayan tempatan.
“Dalam lebih setahun peperangan ini, tentera Israel telah membunuh kira-kira 150 nelayan Palestin,” kata Nizar kepada Xinhua. “Kami memerlukan kira-kira satu juta dolar untuk menyambung semula kerja-kerja di sektor perikanan, dan sekitar 10 juta dolar untuk memulihkan sektor asas perikanan kami apabila perang berakhir,” katanya.
Malah, sektor perikanan di Gaza telah mengalami kemerosotan, lama sebelum perang lagi akibat sekatan Israel terhadap akses ke pesisir pantai Gaza. “Selama 17 tahun sekatan Israel, sektor perikanan telah mengalami kerugian besar,” kata Nizar.
Walaupun begitu, sekatan Israel atau serangan yang sedang berlaku tidak akan mematahkan semangat Ibrahim Abu Ryala, seorang lagi nelayan Palestin yang berpangkalan di Gaza, untuk meneruskan kerjaya yang diwarisi daripada nenek moyangnya.
“Selama lebih 17 tahun, saya berjuang untuk ke laut dan menangkap ikan bagi menyara keluarga saya, dan saya tidak dapat meninggalkan kerjaya saya ini,” kata lelaki berusia 45 tahun, bapa kepada empat orang anak itu kepada Xinhua.
“Saya tidak dapat mencari sebarang pekerjaan lain untuk mendapatkan wang,” kata lelaki yang mencipta jala buatan tangan sendiri untuk menangkap ikan di laut di tengah Gaza walaupun bot kendaliannya diserang tentera Israel.
Ibrahim hanya mampu menangkap dua atau tiga kilogram ikan seminggu semasa perang. “Saya hanya mampu memperoleh sekitar 50 dolar, yang tidak cukup untuk membeli keperluan asas anak-anak saya,” keluhnya.
“Apabila saya ke laut untuk menangkap ikan, saya melihat ke pelabuhan dan berdoa kepada Tuhan agar saya dapat kembali ke daratan,” katanya sambil berlinangan air mata.- BERNAMA-XINHUA