fb fb fb fb fb

Cuak dengan 'pegawai SPRM-MCMC', peniaga rugi RM446, 800

Gambar hiasan

KUANTAN, 26 Oktober - Seorang peniaga di Jerantut mengalami kerugian besar berjumlah RM446,800 selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam kejadian pada 22 Oktober lalu, lelaki berusia 42 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai MCMC.

"Suspek mendakwa bahawa nombor telefon mangsa digunakan dalam aktiviti penipuan.

"Panggilan tersebut kemudian dialihkan kononnya kepada seorang pegawai polis yang memberitahu mangsa bahawa terdapat waran tangkap terhadapnya kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.

"Suspek menghantar waran tangkap melalui aplikasi WhatsApp, menyebabkan mangsa panik dan termakan helah mereka," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Yahaya, dalam tempoh dua hari, mangsa membuat 51 transaksi pemindahan wang berjumlah RM446,800 ke-11 akaun bank yang diberikan oleh suspek, kononnya untuk keperluan siasatan.

Mangsa membuat pemindahan wang simpanannya pada 22 hingga 24 Oktober lalu.

"Lelaki itu menyedari dirinya telah ditipu apabila suspek gagal memulangkan wang tersebut selepas siasatan ‘selesai’ dan membuat laporan polis pada hari berikutnya," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN