KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menjadi operator rel pertama di Malaysia yang melancarkan Buku Panduan Penggunaan Perkhidmatan Rel Rapid KL sebagai sumber rujukan untuk pengguna rel.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan pengangkutan awam yang betul dan selamat, khususnya kepada pelancong serta pengguna baharu.
Inisiatif tersebut digerakkan melalui kerjasama antara Rapid Rail dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
"Kami yakin bahawa dengan pendekatan ini, kandungan dan maklumat yang ingin disampaikan akan menjadi lebih efektif dan bermakna untuk semua pengguna.
"Buku panduan ini boleh didapati melalui laman sesawang Rapid KL iaitu www.myrapid.com.my,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, buku panduan terbabit menyediakan garis panduan mengenai langkah keselamatan, maklumat mengenai jajaran rel Rapid KL, tatacara penggunaan perkhidmatan rel, kemudahan yang disediakan di stesen, serta maklumat berkaitan operasi rel Rapid KL.
Terdahulu, beliau melepaskan peserta pada acara HSE ExploRail 2024 yang diadakan bersempena sambutan bulan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari 2024.