KUANTAN, 29 Ogos -Nelayan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan sebarang bentuk bantuan yang diberikan kerajaan termasuk menjual semula peralatan menangkap ikan yang diterima.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil menegaskan, bahawa tindakan tegas akan dikenakan serta-merta terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya juga akan membatalkan semua semua bantuan yang layak diterima oleh individu terbabit sebagai tindakan susulan terhadap perbuatan tersebut.
"Sesiapa yang melakukan kesalahan mereka tidak layak untuk menerima apa-apa bantuan LKIM, saya tegas dalam hal ini saya telah memberi arahan kepada pegawai-pegawai LKIM bahawa jika ada terdapat kesalahan kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Pahang 2025 di Perkarangan Kompleks LKIM Nenasi, Pekan.
Pihaknya sebelum ini melakukan proses pemutihan bagi mengenal pasti nelayan yang benar-benar layak dan akan terus memantau sekiranya berlaku sebarang pelanggaran peraturan dan syarat yang ditetapkan.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan Peralatan Menangkap Ikan (Touch Point) kepada 49 nelayan Zon A dari Ahli Persatuan Nelayan Kawasan Pekan, Ahli Persatuan Nelayan Kawasan Nenasi dan Ahli Persatuan Nelayan Kawasan Rompin.
Sebanyak RM170,000 diperuntukkan kepada LKIM Pahang bagi bantuan tersebut antaranya merangkumi satu Set Enjin Galah Honda 9KK, pelampung telur (9,000 set), 50 unit Tong Insulasi dan empat set GPS.
Dalam pada itu, seramai lima nelayan turut menerima sumbangan Tabung Kebajikan dan Bencana Alam dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11,500.