KUALA PILAH, 17 Februari- Kerajaan Negeri Sembilan menerusi syarikat yang dilantik menawarkan harga belian padi pada kadar RM1,600 per tan metrik bagi pengeluaran beras pertama negeri ini.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ia merupakan harga yang baik serta berharap semua pesawah dapat mengambil tanggungjawab kenegerian bagi memastikan bekalan padi di negeri ini mencukupi
Jelasnya, jangkaan hasil tuaian pertama nanti akan melibatkan 58 hektar sawah dari Skim Londah Tampin dan 100 hektar lagi di Kuala Pilah bergantung kepada cuaca, mesin dan logistik.
"Penanaman padi di negeri ini secara keseluruhannya ada 750 hektar dan ia akan ditambah lagi. Saya sudah bawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan untuk semua pihak dan jabatan berkaitan bekerjasama memastikan usaha pengeluaran beras negeri dapat dicapai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau penghantaran pertama hasil tuaian padi ke Pusat Pengumpulan Padi Negeri Sembilan, di Pusat Mekanisasi Peladang dekat sini pada Jumaat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai harga jualan beras jenama Negeri Sembilan yang akan dipasarkan nanti sama ada mengikut harga Beras Madani, beliau berkata, ia akan melihat perkembangan semasa dari kerajaan Persekutuan.
"Buat masa ini, di Negeri Sembilan masih kekalkan harga beras putih tempatan RM26 untuk 10 kilogram yang ditetapkan pihak kerajaan.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada pihak kerajaan mengekalkan beras tempatan RM26 atau membuat sedikit kenaikan seperti yang telah diuar-uarkan dua tiga hari ini tetapi belum ada keputusan jelas tentang kenaikan harga," ujarnya.