fb fb fb fb fb

MOTAC umum peruntukan RM200,000 kepada Parlimen Sandakan, Batu Sapi

Datuk Seri Tiong King Sing menghadiri Majlis Pesta Tahun Baharu Cina di Sandakan / BERNAMA

SANDAKAN, 17 Februari- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada Parlimen Sandakan dan Batu Sapi.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata peruntukan itu adalah bagi mengembangkan industri pelancongan di kedua-dua kawasan sekali gus memperbaiki ekonomi penduduknya.

"Kalau lebih ramai pelancong yang datang, industri kita semua boleh maju terutama makanan, restoran, hotel dan logistik," katanya.

Beliau mengumumkan berita baik itu pada Majlis Pesta Tahun Baharu Cina di Sandakan, malam tadi.

Katanya, beberapa penerbangan sewa khas dan tambahan dari luar negara semakin meningkat ke Semenanjung dan perkara sama juga diharapkan di Sabah.

Jelas Tiong, pihaknya juga sentiasa berusaha mempromosikan destinasi pelancongan di negeri itu dan meminta penduduk di kawasan tepi laut atau pulau supaya mengamalkan kebersihan di perairan negara dan tidak sewenang-wenangnya membuang sampah ke laut.

"Saya berharap penduduk berkenaan tidak memikirkan saya menghina atau pandang rendah pada mereka tetapi saya minta kerjasama daripada mereka untuk perkembangan ekonomi kita," katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE