fb fb fb fb fb

Bumburing kembali sertai UPKO

Bumburing, bersama kira-kira 100 bekas anggota UPKO dari Keningau, Tambunan, Tamparuli, Kiulu, Kota Belud dan Kuala Penyu, mengumumkan penyertaan semula mereka pada Majlis Pisompuruan bersama pimpinan dan ahli UPKO di Tuaran

TUARAN, 17 Februari- Bekas Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Bumburing kembali menyertai parti itu setelah meninggalkannya pada Julai 2012.

Bumburing, bersama kira-kira 100 bekas anggota UPKO dari Keningau, Tambunan, Tamparuli, Kiulu, Kota Belud dan Kuala Penyu, mengumumkan penyertaan semula mereka pada Majlis Pisompuruan bersama pimpinan dan ahli UPKO di Tuaran, semalam.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau mengambil keputusan tersebut selepas melihat perjuangan UPKO dalam mempertahan hak dan kepentingan rakyat serta usaha yang dilakukan Presidennya Datuk Ewon Benedick sejak mengambil alih kepimpinan pada Januari tahun lepas.

"Ewon dan UPKO terkehadapan dalam soal memperjuangkan hak 40 peratus Sabah seperti dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila beliau menjemput saya ke perbincangan meja bulat mengenai perkara ini, saya terpanggil untuk memberi sumbangan secara aktif dan menyokong kepimpinan beliau," katanya.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, pula berkata beliau menyambut baik penyertaan semula Bumburing bersama bekas ahli lain ke dalam parti itu.

Bumburing menjadi Ahli Parlimen Tuaran selama sepenggal selepas memenangi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ketika mewakili UPKO namun pada Julai 2012, beliau mengumumkan keluar parti tersebut, yang juga parti komponen Barisan Nasional ketika itu.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli selama empat penggal sejak 1985 mewakili Parti Bersatu Sabah dan mewakili PKR selama sepenggal di kawasan sama pada Pilihan Raya Negeri pada 2013.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE