KUALA PILAH, 16 Disember- Kerajaan Negeri Sembilan mensasarkan sifar miskin tegar menjelang tahun 2024 berikutan dua daerah di negeri itu berjaya mencatat sifar miskin tegar iaitu Port Dickson dan Rembau.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, pelbagai program dan inisiatif yang disediakan dapat membantu rakyat untuk keluar daripada kemiskinan.
"Saya berharap masyarakat menerima dan dapat menyediakan serta membelanjakan duit ini. Di samping itu juga ada bantuan perniagaan kepada mereka selain meningkatkan kemahiran.
"Kita melihat kepada minat mereka mungkin dalam bidang ternakan atau pertanian. Perkara itu bergantung kepada minat mereka,' katanya ketika ditemui pemberita pada Pesta Bola Ngoca 2023 di Stadium Ngoca Perkampungan Budaya Terachi, di sini.
Dalam pada itu satu produk beras putih tempatan baharu berjenama Beras Seri Menanti dirasmikan dan pengeluaran pertamanya berjaya menghasilkan tiga tan.
"Kita melihat itu sebagai satu simbolik yang cukup besar dan kita mahu supaya beras itu melambangkan komitmen kerajaan negeri, masyarakat untuk memastikan beras atau padi yang ditanam di Negeri Sembilan dapat dipertingkatkan.
"Kita tahu pengeluaran masih rendah sekitar tiga tan per satu relung. Jadi Kalau boleh kita tingkatkan pengeluaran itu kepada sekali ganda," katanya.
Kerajaan Negeri Sembilan juga akan mengaktifkan semula tanah-tanah terbiar bagi memenuhi hasrat untuk mempertingkatkan hasil pengeluaran padi di negeri itu.