fb fb fb fb fb

Patuh garis panduan keselamatan, kesihatan - Polis Perlis

Datuk Muhammad Abdul Halim

PADANG BESAR, 16 Disember- Polis Perlis menasihati semua pelancong yang ingin bercuti di Thailand yang melalui pintu sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan termasuk aspek kesihatan.

Nasihat tersebut berikutan terdapat peningkatan jangkitan COVID-19 di Perlis awal bulan ini dan langkah pematuhan perlu dipatuhi bagi mengekang penularannya ketika musim cuti persekolahan.

Menurut Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim, pelancong yang ingin ke Thailand juga dinasihatkan mematuhi proses dokumentasi terutama melibatkan pasport dan insurans perjalanan.

"Kepada pengunjung yang ke Perlis dan menyambung perjalanan ke negara jiran perlu memastikan dokumentasi pasport dan kenderaan mematuhi syarat kedua-dua negara.

"Saya juga dapati kes-kes COVID-19 agak aktif sekarang, kita mohon pelancong mengambil langkah pencegahan bagi memastikan pencegahan COVID-19 dapat dilaksanakan termasuk rakyat Perlis," katanya selepas operasi bersepadu pencegahan dan penyuludupan di Ibu Pejabat Polis Padang Besar.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis Norazah Jaapar serta wakil-wakil agensi penguatkuasa negeri Perlis turut hadir.

Menurut EXCO Kesihatan Perlis Megat Hashirat Hassan, Perlis merekodkan peningkatan 78 peratus kes COVID-19 sepanjang minggu epidemiologi dari 3 hingga 9 Disember lalu, dengan 57 kes dilaporkan berbanding 32 pada minggu sebelumnya.

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Perlis, daripada 57 kes itu, 11 atau 19 peratus adalah kes import, manakala bakinya kes tempatan.

Namun tiada lonjakan jumlah kemasukan ke wad Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan hanya 14 kes atau 25 peratus sahaja diletakkan di bawah pemantauan hospital itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI