fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan pertimbang tawaran geran daripada KBS

Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 10 Januari- Kerajaan Negeri Sembilan akan mempertimbang tawaran geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM500,000 bertujuan menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput sebagai persediaan menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2024/2025.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri itu juga akan mempertimbangkan tawaran pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan menyumbangkan RM300,000 kepada penerima geran untuk menyelenggara rumput selam 12 bulan sekiranya berjaya menyiapkan naik taraf sebelum liga bermula.

"Kita pada dasarnya apabila menerima tawaran tersebut kita bersetuju dengan sumbangan daripada KBS dan TMJ. Jadi kita rasa kita akan pertimbangkan kita akan lihat apa keperluan sebenar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Negeri di sini.

Sebelum ini media melaporkan KBS menawarkan RM7 juta menerusi geran untuk meningkatkan kualiti padang di stadium setiap negeri sebagai persedian musim Liga Malysia 2024/2025.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, geran RM500,000 ditawarkan kepada semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk kerja-kerja naik taraf sistem saliran dengan kos RM300,000 dan selebihnya (RM200,000) lagi untuk menanam rumput baharu.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Negeri Sembilan juga menguatkuasakan larangan berkhemah di tiga kawasan pantai awam di Port Dickson serta merta. Tiga pantai tersebut adalah Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana dan Pantai Cahaya Negeri.

Larangan tersebut dikeluarkan selepas menerima pelbagai aduan terutamanya melibatkan khemah yang didirikan mengganggu pengunjung lain yang datang ke kawasan pantai berkenaan.

"Saya telah sampaikan mesej saya kepada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) supaya mereka perlu bertegas bagi memudahkan pelancong untuk datang ke Port Dickson tanpa ada gangguan dan masalah.

"Apabila banyak khemah didirikan ia mengganggu orang (pengunjung) untuk sampai ke pantai dan juga menggunakan wakaf-wakaf yang didirikan sebagai tapak perkhemahan mereka," katanya.

Bagaimanapun Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, orang ramai masih boleh melakukan aktiviti tersebut di beberapa kawasan yang telah ditetapkan sahaja.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI