SEREMBAN, 5 Disember- Kerajaan Negeri Sembilan akan terus memfokuskan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi mempertingkatkan nilai pelaburan negeri pada tahun 2024.
Ia berikutan kedua-dua sektor tersebut merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sektor pembuatan dan perkhidmatan menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan disamping dapat meningkatkan sektor pembinaan di negeri itu yang berada di fasa pembangunan.
"Secara spesifiknya bagi sektor pembuatan, subsektor yang ditumpukan adalah industri berteknologi tinggi yang boleh menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang seperti Electrical & Electronic (Semiconductors), Electric Vehicles Battery & component Aerospace industry & component;Pharmaceuticals;Medical Devices / Technology;Automotive;Agriculture & Agro-Based; dan Halal-based industry.
"Manakala bagi sektor perkhidmatan pula, jenis industri yang ditumpukan adalah pembangunan hospital baharu, hotel, projek infrastruktur, digital & data centre dan hab logistik", katanya ketika sesi soal jawab lisan Persidangan Belanjawan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini.
Dalam pada itu, Aminuddin turut memaklumkan penekanan akan diberikan kepada sektor pembuatan untuk menghasilkan lebih banyak produk berkualiti tinggi, pelbagai, serta kompleks untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan.
Kerajaan negeri juga katanya turut menyasarkan jumlah pelaburan bernilai RM7 bilion bagi tahun 2024 yang meliputi sektor tersebut.