SEREMBAN, 17 November- Kerajaan Negeri Sembilan bakal mewujudkan outlet yang menghimpunkan pelbagai produk berasaskan industri asas tani sebagai usaha mempromosi produk tempatan kepada pengunjung di dalam dan luar negara.
Menurut Exco Kanan, Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Pertanian, Keterjaminan Makanan, dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, usaha itu turut membantu para pengusaha untuk fokus selain menjana keuntungan yang lebih baik.
"Di situ nanti kita akan lihat berapa ramai pengusaha yang kita akan letakkan dalam sesuatu kawasan. Berkemungkinan kita akan mengenakan bayaran sewa minimum untuk membantu mereka untuk mendapatkan pelanggan.
"Apabila sampai satu peringkat kita akan ada dua tiga outlet ataupun satu pusat sehenti supaya kita boleh tempatkan seramai mungkin pengusaha makanan industri asas tani di Negeri Sembilan ini," katanya ketika ditemui media pada Program Karnival Industri Asas Tani dan my GAP di sini.
Jalaluddin berkata sebagai permulaan pihaknya sedang meneliti tempat besesuaian untuk melaksanakan outlet tersebut antaranya di Pasar Ampangan atau Arked Senawang yang dijangka akan mula beroperasi pada suku pertama tahun 2024.
Dalam perkembangan lain Negeri Sembilan turut dalam perancangan mewujudkan sebuah pusat pengumpulan padi sebelum membina kilang dengan beras jenama sendiri bagi memastikan bahan asas itu mencukupi di negeri itu.
Jalaluddin berkata pusat pengumpulan itu bakal dilaksanakan pada suku pertama tahun 2024.
"Semua pengusaha, pesawah akan diminta menghantar padi mereka di pusat pengumpulan ini dan operator yang menguruskan pusat ini akan menguruskan bagi pembungkusan untuk dipasarkan untuk rakyat di Negeri Sembilan.
"Jadi sekarang saya ingin pastikan padi di Negeri Sembilan boleh dinikmati oleh rakyat di negeri ini. Sekiranya ada lebihan, baru dijual ke luar," katanya.
Bagaimanapun Jalaluddin berkata harga beras putih tempatan (BPT) di negeri itu masih menggunakan harga siling lama iaitu pada harga RM26 bagi 10 kilogram BPT.
Kenyataan itu bagi mengulas berkenaan kerajaan akan meniliti syor harga siling BPT untuk dinaikkan bagi menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu.