fb fb fb fb fb

Isu air dan elektrik di Labuan, dalam perhatian kerajaan Persekutuan - KSN

Foto FB KSN

LABUAN, 17 November- Isu bekalan air dan bekalan elektrik yang tidak stabil di Labuan terus mendapat perhatian daripada pihak kerajaan Persekutuan dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di wilayah itu.
 
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kerajaan pusat telah mengambil perhatian terhadap isu tersebut dan memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikannya.
 
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan tambahan untuk Labuan bagi kerja-kerja penggantian paip yang telah usang menerusi pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.
 
Perkara tersebut perlu dibuat penelitian yang sempurna sebelum ia dilaksanakan.
 
"Itulah yang kita lihat, hala tuju bagaimana kita nak selesaikan perkara ini dan insya-Allah perbincangan pada hari ini ke arah untuk mencari jalan terbaik.

Saya yakin bahawa dengan kerjasama semua agensi yang terlibat, baik di peringkat agensi di Persekutuan, Sabah, ataupun di Labuan ini, kita percaya perkara ini akan ada jalan penyelesaian," kata Mohd Zuki kepada pemberita sempena lawatan rasminya ke Labuan.
 
Semasa sesi lawatannya, beliau berkesempatan melihat perkembangan kerja-kerja naik taraf dan mengetahui status semasa tindakan penyelesaian masalah yang kerap kali berlaku di pulau.

Beliau turut meninjau Terminal Tangki Simpanan iaitu Projek Penggantian Paip Pumping Pulau Enoe dan Stesen Janakuasa Elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM