fb fb fb fb fb

Nama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dikekalkan

(Keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan penuh kepelbagaian
akan terus terus dipelihara)

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Mesyuarat Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan semalam, memutuskan untuk mengekalkan nama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pada masa sama, MOTAC optimis untuk terus sentiasa memainkan peranan utamanya memberi tumpuan bukan sahaja terhadap perkembangan sektor pelancongan.

Malah terhadap kesenian dan kebudayaan yang merupakan khazanah penting negara.

Dalam satu kenyataan media, MOTAC juga memberi jaminan untuk terus mengamalkan dasar pintu terbuka selain bersedia mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak.

Keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan penuh kepelbagaian juga akan terus dipelihara.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing menyatakan pihaknya akan memastikan pelancongan, seni dan budaya negara dapat dipromosi dan dipopularkan di luar negara melalui pelbagai medium, selari perkembangan teknologi semasa.

Sekali gus, dapat menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan, seni dan budaya di Malaysia, seterusnya memberi limpahan manfaat kepada masyarakat serta negara.

(Datuk Seri Tiong King Sing/Foto fail Bernama)

Beliau turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pemain industri dan semua pihak yang menyumbang pandangan serta buah fikiran ke arah menambahbaik industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

Antaranya, pakar-pakar profesional, berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif dan berbakat besar dalam sektor kebudayaan seperti penari tarian tradisional dan pensyarah yang memainkan peranan penting dalam membawa industri pelancongan, seni dan budaya ke tahap yang lebih tinggi, bersinar dan gah di peringkat global.

Media Baharu