fb fb fb fb fb

NAM perlu kekalkan prinsip asas pergerakan berkecuali

(Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir)

PUTRAJAYA, 6 Julai- Ketaksuban, Islamofobia, sikap rasis dan sebarang tindakan memusnahkan teks keagamaan tanpa mengira agama perlu dikecam.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan peningkatan sentimen kebencian dan tindakan melampau di negara-negara tertentu amat membimbangkan, termasuklah kes pembakaran teks Al-Quran di Sweden.

"Adalah penting bagi negara-negara anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) bekerjasama antara satu sama lain bagi mengatasi cabaran yang dihadapi, dalam masa sama menerapkan nilai kepercayaan, saling menghormati dan membina persefahaman," kata beliau ketika menyampaikan Kenyataan Malaysia dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Luar NAM di Baku, Azerbaijan, semalam.

Zambry juga menekankan bahawa NAM perlu kekal relevan dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar, selaras dengan prinsip asas NAM.

"NAM tidak boleh mengetepikan kebimbangan dan kepentingan negara-negara anggota dalam menegakkan prinsip-prinsip NAM. Ini termasuk menggariskan keperluan penambahbaikan struktur kewangan antarabangsa untuk membantu negara-negara membangun mengatasi pelbagai masalah seperti krisis kewangan, inflasi, peningkatan kadar bunga dan ketiadaan pelepasan hutang," tambah beliau.

(Datuk Seri Zambry berkata NAM perlu kekalkan prinsip asas pergerakan berkecuali)

Katanya, Malaysia mahu NAM menitikberatkan usaha pembaharuan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan aspirasi dan kepentingan ahli-ahli PBB diperjuangkan secara adil dan saksama.

Selain itu Malaysia turut menyatakan kekecewaan ASEAN terhadap NAM atas keengganannya menerima cadangan ASEAN berhubung isu Laut China Selatan dalam Dokumen Akhir Mesyuarat yang telah berpanjangan selama hampir 10 tahun.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh negara Azerbaijan dan dihadiri lebih 100 wakil negara anggota NAM, negara pemerhati NAM dan tetamu khas termasuk wakil pertubuhan antarabangsa.

Mesyuarat Menteri Luar NAM diadakan sebagai persediaan bagi Sidang Kemuncak NAM Ke19 yang dijadualkan berlangsung di Kampala, Uganda pada Januari 2024.

Keberanian Malaysia yang lantang menyuarakan kritikan terhadap NAM ini telah mendapat sokongan daripada wakil negara-negara anggota NAM yang hadir, termasuklah daripada kalangan negara anggota ASEAN.

Media Baharu