fb fb fb fb fb

DBKL terima peruntukan RM33.6 juta, selenggara lif di PPR - KPKT

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Sebanyak RM33.6 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi penyelenggaraan dan penggantian lif di lima kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata peruntukan itu melibatkan penggantian 62 lif membabitkan 19 blok perumahan, yang bakal memberi manfaat kepada 9,274 keluarga.

PPR yang terlibat ialah PPR Bukit Jalil, Perumahan Awam Desa Rejang, Perumahan Awam Seri Pangkor 1, Perumahan Seri Pangkor 2 dan Perumahan Awam Seri Terengganu.

"Hari ini kita datang untuk mengumumkan satu peruntukan yang agak besar iaitu sejumlah RM33.6 juta diserahkan kepada DBKL untuk menukar 62 fasiliti lif dan kemudahan perumahan awam serta kos rendah," kata Kor Ming kepada pemberita, hari ini dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Peruntukan bagi Inisiatif Belanjawan Madani 2023: Penyelenggaraan Lif untuk PPR di PPR Seri Malaysia, di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail , Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Datuk N Jayaselan.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa peruntukan itu boleh ditambah jika pihak DBKL melaksanakan tugas itu dengan baik.


(Foto FB Menteri)

Media Baharu