KUALA LUMPUR, 4 Januari - Permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan wajar dikemukakan oleh Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr. Ikmal Hisham Md Tah berkata, tindakan itu disifatkan lebih tepat dan mengikut tatacara yang ditetapkan perundangan.
Jelasnya, permohonan baharu itu juga menjadi penyelesaian terbaik bagi menamatkan persoalan berkait Titah Adendum.
"Daripada satu segi, ia bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan seharusnya Najib bekas perdana menteri sekiranya beliau ingin pengampunan hendaklah difailkan semula kepada lembaga pengampuanan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Menerusi titah Istana Negara ini jelas menunjukkan kita sebagai rakyat akur dan hendaklah patuh kepada titah dikeluarkan kerana titah itu selaras kuasa baginda di bawah peruntukan Perlembagaan
Persekutuan," kata Dr. Ikmal kepada RTM.
Dr. Ikmal Hisham turut memaklumkan permohonan baharu itu akan mewujudkan situasi harmoni dalam masyarakat dan mampu menepis prasangka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong kerana ia membabitkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu.
Terdahulu, Istana Negara menerusi satu kenyataan berkata permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan tersebut untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu selaras dengan peruntukan 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa apa kesalahan dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.