fb fb fb fb fb

Lebih 48,000 kanak-kanak terima suntikan MR di Kelantan

Foto hiasan

KOTA BHARU, 24 September - Lebih 48,000 kanak-kanak di Kelantan telah menerima suntikan imunisasi tambahan Measles dan Rubella atau MR SIA sejak program itu bermula pada 4 Ogos lalu.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah itu mewakili 52.9 peratus daripada sasaran keseluruhan seramai 91 ribu 500 kanak-kanak di negeri ini.

Daripada jumlah penerima, hampir 97 peratus adalah warganegara manakala selebihnya bukan warganegara.

"Tiga daerah mencatat liputan melebihi 60 peratus iaitu Jeli dengan 81 peratus, Tanah Merah 67.5 peratus dan Bachok 65.2 peratus.

"Lima daerah lain mencapai liputan antara 50 hingga 60 peratus termasuk Pasir Puteh, Pasir Mas, Machang, Tumpat dan Gua Musang", katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Daerah Kota Bharu hanya mencapai 44.6 peratus manakala Kuala Krai 48.8 peratus.

Datuk Dr Zaini berkata, masih terdapat 12.8 peratus ibu bapa dan penjaga yang ragu-ragu untuk membawa anak mereka mendapatkan imunisasi tambahan berkenaan.

Justeru beliau menyeru semua ibu bapa yang mempunyai anak berusia antara enam hingga 59 bulan supaya segera hadir ke klinik kesihatan bagi mendapatkan suntikan MR, sekali gus membantu Kelantan mencapai sasaran liputan 95 peratus menjelang 12 Oktober depan.

Trainee