fb fb fb fb fb

'Doakan keselamatan pasukan Global Sumud Flotilla' - TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat panggilan video bersama Musa Al-Nuwayri salah seorang aktivitis dari Malaysia/Foto Facebook TPM Zahid

KUALA LUMPUR, 24 September - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memanjatkan doa bagi keselamatan pasukan Global Sumud Flotilla yang kini dalam misi kemanusiaan ke Gaza.

Beliau berkata, serangan terhadap pasukan flotila itu amat membimbangkan kerana ia menggadaikan nyawa dan keselamatan sukarelawan yang berjuang membawa bantuan kepada rakyat Palestin.

“Alhamdulillah, saya berpeluang melakukan panggilan video bersama Musa Al-Nuwayri, salah seorang rakyat Malaysia yang turut serta dalam misi ini.

"Saya mendapat sedikit kelegaan apabila mendengar perkhabaran mereka secara langsung,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata semua peserta dari Malaysia dilaporkan selamat dan tetap bersemangat untuk meneruskan misi tersebut biarpun berhadapan dengan pelbagai risiko dan cabaran.

“Doa kita adalah senjata, solidariti kita adalah kekuatan. Semoga misi ini dipermudahkan dan bantuan sampai kepada saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.

Seramai 11 orang sukarelawan Malaysia dalam kumpulan B yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza mula belayar ke Gaza dari Catania Sicily, Itali bagi menyempurnakan usaha menyalur bantuan kepada rakyat Palestin.

Kumpulan tersebut merupakan sebahagian daripada peserta misi membabitkan 18 buah delegasi dunia yang berlepas dan belayar dari lokasi sama selepas hampir 12 hari persiapan di darat.

GRACE AISYAH KEDAYAN