fb fb fb fb fb

BUDI95 langkah awal, proses penyasaran subsidi bahan api

Foto BERNAMA

IPOH, 24 September - Pelaksanaan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) merupakan langkah awal kerajaan dalam proses penyasaran semula subsidi bahan api secara berperingkat.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pelaksanaan dasar itu dilakukan secara berfasa agar ia tidak menimbulkan masalah kepada rakyat.

"Pertama sekali, rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan serta lesen memandu sah dan masih hidup layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

"Pada peringkat awal, kita akan mengecualikan bukan warganegara dan warga asing. Selepas fasa ini berjalan, barulah kita memantau pelaksanaannya dan seterusnya menambah baik langkah seterusnya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON) Peringkat Parlimen Tambun bersama Persatuan Kanser Nasional Malaysia (NCSM) di Dewan NCSM-Caritas, Kampung Simee di sini.

Tambahnya, program BUDI95 akan ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan hasil pemantauan kerajaan.

Ini termasuk mengecualikan golongan T15 dalam senarai penerima subsidi petrol RON 95 pada masa akan datang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI