fb fb fb fb fb

Naikkan harga produk, Gardenia diberi tempoh enam hari untuk penjelasan

(FOTO HIASAN)

KUANTAN, 28 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd bagi menjelaskan cadangan menaikkan harga sebahagian produk mereka.

Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata syarikat itu diberi tempoh enam hari untuk memberi penjelasan mengenai perkara tersebut bermula 27 September sehingga 1 Oktober ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut bagi memastikan pihak Gardenia tidak melanggar sebarang akta kawalan harga dan antipencatutan.

1
(Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh)

"Kita akan tunggu jawapan dia. Kita tidak boleh sekat tindakan mereka naik harga itu, tapi kita boleh dapatkan maklumat kenapa mereka naikkan harga, dan kita kena pastikan bahawa tiada pelanggaran akta pencatutan. Pencatutan ini maknanya luar biasalah dia punya kenaikan itu, jadi kita perlu pastikan tidak ada pencatutan.

"Kalau 'justify' memang harga import mahal, harga 'landed' mahal dan kos pengeluaran kos itu ini, memang KPDN akan kira di setiap peringkat," katanya.

Fuziah berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sesi Walkabout Program Jualan Rahmah Bergerak DUN Tanjung Lumpur, di sini.

Fuziah turut mengalu-alukan langkah syarikat itu tidak menaikkan harga 28 produknya termasuk roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast'em.

Pada 26 September lalu, Gardenia mengesahkan 30 produknya akan mengalami kenaikan harga di antara 10 sen hingga 40 sen mulai Ahad ini.

Antara produk yang mengalami kenaikan harga ialah Puazz Sambal Bilis, Sambal Mackerel dan Kari Ayam, Quick Bites Butter Toffee dan Red Beans, Quick Bites Cream Rolls, Numee Yellow Noodle, dan Numee Keluarga.

Media Baharu