BAYAN LEPAS, 28 September- Ahli perniagaan, Dr Muhammad Fauzy Muhammad Hyffny dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang 2023.
Beliau yang berpengalaman membangunkan sistem perbankan dengan menggunakan asas perbankan Islam di Turkiye itu bagaimanapun tidak menyangka memperoleh anugerah tersebut.
Menurut Muhammad Fauzy, gelaran tersebut merupakan tanggungjawab besar buatnya untuk menyumbang kepada masyarakat pada masa akan datang.
"Saya memang tidak menyangka akan dianugerahkan dengan anugerah Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang 2023 kerana ketika dihubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAINPP), mereka hanya beritahu, saya hanya penerima anugerah sahaja.
"Saya ingatkan saya penerima anugerah untuk kategori Qudwatur Rasul (usahawan) sahaja, rupa-rupanya saya dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat Pulau Pinang bagi tahun ini.
"Saya merasa terkesima orang kata. Ingat hanya usahawan, tak jangka tokoh. Rasa kerdil. Makin banyak beban dibahu untuk dijalankan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang 2023 di Raia Hotel, Bayan Lepas.
Muhammad Fauzy membawa pulang wang berjumlah RM3,000, jam tangan, trofi dan sijil penghargaan.
Majlis disempurnakan Tuan Yang Terutama Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
(Muhammad Fauzy membawa pulang wang berjumlah RM3,000, jam tangan,
trofi dan sijil penghargaan.)