GEORGE TOWN, 1 Disember - Hasil bedah siasat yang dijalankan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang ke atas mangsa nahas membabitkan van kilang di Jalan Mount Erskine, awal pagi tadi, mendapati punca kematian akibat kecederaan serius di bahagian kepala.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad.
Kejadian berlaku sekitar 6.00 pagi ketika van berkenaan dalam perjalanan dari Teluk Bahang menuju Bayan Baru sebelum pemandunya hilang kawalan.
Jelasnya mangsa yang maut, iaitu penumpang wanita berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi pada pukul 6.17 pagi.
Manakala pemandu van, lelaki tempatan berusia 59 tahun, mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Turut cedera enam penumpang wanita tempatan lain berusia antara 21 hingga 53 tahun, dengan tahap kecederaan berbeza.
Pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk faktor kelajuan, keadaan jalan dan aspek teknikal kenderaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada pukul 5.59 pagi sebelum tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.
