KUALA LUMPUR, 11 Jun – Permit pengendalian syarikat bas persiaran yang terlibat dalam nahas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, dibatalkan serta-merta tanpa sebarang peluang rayuan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan tegas itu diambil susulan hasil siasatan awal yang mendapati pemilik itu telah melanggar dua syarat utama yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, iaitu memajakkan permit bas kepada pihak ketiga dan tidak mengaktifkan Sistem Pengesanan Global (GPS) pada bas.
“Siasatan mendapati pemilik syarikat telah memajakkan permit bas berkenaan kepada pihak ketiga, sekali gus melanggar syarat utama pengendalian kenderaan awam. Pemilik kenderaan beralamat di Kedah tetapi telah memajakkan permit tersebut kepada individu dari Kelantan dengan bayaran hanya RM500 sebulan," katanya dalam Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), hari ini.
Selain itu tambahnya, siasatan juga mendapati pemilik berkenaan tidak mengaktifkan GPS pada bas berkenaan sepanjang perjalanan apabila gagal menyerahkan laporan pergerakan ketika diminta.
"Ini adalah dua pelanggaran serius dan membuktikan kecuaian yang tidak boleh diterima. Tiada kompromi dan tiada ruang untuk rayuan dalam kes ini. Ini adalah kecuaian yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan,” tegasnya.
Semalam, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendedahkan, terdapat 18 saman pernah dikeluarkan terhadap pemandu bas tersebut, yang mana sebanyak 13 daripadanya dikenakan atas kesalahan memandu laju.
Tiga kesalahan lain yang dikenakan saman adalah tidak memakai tali pinggang keledar, manakala satu kesalahan lain masing-masing iaitu tiada lampu brek ketiga dan terlibat dalam kemalangan.
Siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.