fb fb fb fb fb

Nahas LPT2, jenazah tiga beranak selamat dikebumikan

KUALA TERENGGANU, 19 Jun- Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Cheneh, selamat dikebumikan, di sini pada Ahad.

Ketiga-tiga jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati, Manir, kira-kira pukul 7.30 malam.

Suasana pilu mengiringi tiga jenazah; Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, isteri, Zahidah Hanisah Mohamad dan anak perempuannya, Raudhatul Khayra, 3, ke tanah perkuburan berkenaan.

Ibu Allahyarham Mohd Riduan, Zawiyah Abd Kadir turut terkejut dengan berita pemergian anak lelakinya itu, namun redha dengan takdir ditentukan Allah SWT.

(Jenazah tiga beranak selamat dikebumikan dalam
satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati, Manir)

Terdahulu, kenderaan jenazah dari Hospital Kemaman tiba di perkarangan kediaman keluarga, pukul 5.20 petang.

Solat jenazah disempurnakan di kediaman sama dekat Kampung Raja, Teluk Pasu Manir.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Sabtu lalu, Zahidah Hanisah yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tembah, Paka dan suami, Mohd Riduan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan.

Manakala, Raudhatul Khayra disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Seorang lagi anak mangsa, Muhamad Uwais Wafiuddin, 8, sedang menerima rawatan di hospital sama.

Media Baharu