(Foto BERNAMA)
KUCHING, 19 Jun- Dua wanita di daerah Padawan dan Kota Samarahan mengalami kerugian lebih RM400,000 selepas menjadi mangsa penipuan siber.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri berkata kes pertama membabitkan seorang peniaga dalam talian berusia 44 tahun.
Mangsa terpedaya selepas menerima mesej dari rakan warga Singapura yang mengajaknya menyertai satu pelaburan diketahui melalui aplikasi Telegram pada November tahun lepas.
"Mangsa yang berminat telah berurusan dengan seorang individu dan diarah memuat turun satu aplikasi untuk tujuan pendaftaran.
"Individu berkenaan telah meminta mangsa memasukkan sejumlah wang dan 17 transaksi dilakukan di sembilan akaun bank berbeza.
"Mangsa telah mengeluarkan modal sebanyak RM238,048 bermula November tahun lepas hingga Februari tahun ini.
"Mangsa menyedari ditipu selepas hanya menerima RM500 pulangan pelaburan," katanya.
Sementara itu, kes kedua membabitkan seorang Pegawai Teknologi Maklumat berusia 47 tahun yang terpedaya dengan tawaran kerja di dalam talian yang tidak wujud.
Kes bermula apabila mangsa melihat iklan pekerjaan dalam Facebook pada 11 Jun lepas dan telah dihubungi melalui media sosial oleh pihak tebabit.
Mangsa telah membuat 14 transaksi pembayaran kepada tujuh akaun bank berbeza berjumlah RM201,186 antara 13 hingga 16 Jun lalu.
Mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima sebarang pulangan.
Orang ramai dinasihat agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan pelaburan tidak sah terutamanya menerusi media sosial.
(Foto BERNAMA)