GOMBAK, 29 September - Syarikat pengangkutan wajib memastikan kenderaan diselenggara dengan baik pada setiap masa, susulan nahas lori di Kajang baru-baru ini yang meragut nyawa seorang bayi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa syarikat pengangkutan tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan berkala, sebaliknya penyelenggaraan kenderaan mesti dijalankan secara berterusan.
"Ini yang kita perlu ingatkan kepada syarikat-syarikat pengangkutan bahawa penyelenggaraan kenderaan perlu dilakukan sepanjang masa, bukan hanya menunggu PUSPAKOM (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) semak sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak di sini hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan ciri keselamatan seperti kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan.
"Ini satu peringatan penting kepada semua. Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi kanak-kanak kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu," katanya.
Loke menambah, beliau menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis, sambil menegaskan bahawa kementeriannya akan terus memantau dan menguatkuasakan standard keselamatan pengangkutan awam bagi mengelakkan tragedi sama berulang.
BERITA BERKAITAN: