GOMBAK, 29 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bercadang supaya pembangunan kemudahan rangkaian pengangkutan di masa depan dibuat secara bersepadu, dengan pelbagai kemudahan sokongan untuk rakyat.
Berucap pada Majlis Perasmian Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (TBG) dan Mini Karnival MOT 2025, beliau menekankan kepentingan integrasi yang dapat memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat.
“Kita selaraskan bagaimana boleh jadikan tempat dan ruang ini, stesen-stesen besar seperti ini memberikan kemudahan yang pelbagai kepada rakyat,” katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar, konsep bersepadu itu akan menggabungkan pelbagai kemudahan penting di sekitar rangkaian pengangkutan.
“Di setiap stesen disediakan tempat perniagaan atau hotel atau restoran atau jabatan-jabatan seperti Jabatan Pendaftaran, Imigresen dan sebagainya, maka dia akan jadi satu pusat kota yang baharu,” katanya.
Perdana Menteri berkata usaha itu juga akan merancakkan pembangunan ekonomi dan memenuhi keperluan kawasan sekitar.
“Supaya stesen itu menjadi sebagai memangkin pertumbuhan ekonomi kawasan dan memenuhi keperluan. Kalau untuk kota sekitar Kuala Lumpur itu kita cadangkan lebih besar lagi iaitu stesen itu harus menjadi tempat pembangunan yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan moden hanya bermakna jika benar-benar menepati kehendak rakyat.
“Kalau setakat tetapi canggih sahaja, dia tidak memenuhi keperluan kita,” katanya.