fb fb fb fb fb

LLM salur bantuan kepada keluarga mangsa nahas Tol Bukit Kajang

LLM

KAJANG, 29 September- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang SILK, Sabtu lepas.

LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan itu dilaksanakan bersama syarikat konsesi Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn Bhd (SILK) sebagai sebahagian inisiatif prihatin terhadap keluarga terlibat.

"LLM turut merujuk kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang telah mengarahkan agar bantuan sewajarnya diberikan kepada mangsa yang terlibat dalam insiden ini," menurut kenyataan.

Menurut agensi itu, kemalangan kira-kira 10.50 pagi itu meragut nyawa seorang bayi berusia setahun di lokasi. Beberapa ahli keluarga lain yang merupakan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) cedera dan kini dirawat di hospital.

"LLM merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang amat mendalam kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar semua yang cedera diberikan kesembuhan segera," menurut kenyataan.

Agensi itu berkata pihaknya juga dimaklumkan bahawa pemandu lori berusia 42 tahun telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sehubungan dengan itu, LLM bersama pihak konsesi, SILK akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang sedang dijalankan," menurut kenyataan.

LLM dalam masa sama menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memasuki lorong tol mengikut jenis kenderaan dan memperlahankan kenderaan ketika menghampiri plaza tol.

Pengguna juga diminta sentiasa peka terhadap aliran trafik serta mematuhi papan tanda keselamatan.

"Keselamatan pengguna adalah keutamaan kami dan LLM mendoakan agar setiap perjalanan di lebuh raya sentiasa selamat," menurut agensi itu.

SITI AISHAH BINTI MD ISA