fb fb fb fb fb

Nahas helikopter, jenazah Wan Rezaudeen Kamal selamat dikebumikan di Gombak

Foto RTM

GOMBAK, 24 April- Jenazah Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin merupakan salah seorang dari 10 mangsa nahas helikopter TLDM selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, KL-Karak, Gombak pada pukul 10.00 malam tadi.

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati pada pukul 8.16 malam bagi disembahyangkan sekali lagi.

Kira-kira 1,000 jemaah menyempurnakan solat jenazah yang diimamkan, Pegawai Agama KD Sultan Abdul Aziz Shah, Mejar Mohamad Aswad Abdul Rahman pukul 8.50 malam.

Jenazah Allahyarham Wan Rezaudeen Kamal tiba di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah kira-kira pukul 9.20 malam.

Suasana sedih menyelubungi kawasan tanah perkuburan sebaik sahaja van jenazah tiba di lokasi pengebumian.

Selesai pengebumian, bacaan talkin turut dibacakan Mejar Mohamad Aswad.

Istiadat pengebumian berakhir dengan penyerahan Ensign TLDM daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada ahli keluarga Allahyarham sebagai simbolik pengorbanan Allahyarham.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM